Khamis, 18 Disember 2014

Malaysia pilih laluan sukar

BANGKOK – Malaysia memilih jalan sukar untuk menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2014 selepas tewas 0-2 kepada Thailand pada perlawanan akhir pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok malam tadi.

Meskipun masih ada 90 minit untuk diharungi, sk
uad bimbingan Dollah Salleh perlu bekerja lebih keras untuk mengatasi defisit dua gol yang dimiliki Thailand, sekali gus melakar kemenangan pada perlawanan akhir kedua di Stadium Nasional Bukit, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Pada aksi malam tadi, gol pertama Thailand diperoleh pada minit ke-70 menerusi satu sepakan penalti selepas pemain pertahanan Harimau Malaya, Fadhli Shas menjatuhkan Adisak Kraisorn dalam kawasan kotak penalti.

Pemain tengah, Charly Chappuis yang mengambil sepakan penalti itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan itu, Dollah melakukan dua pertukaran pemain untuk membawa masuk penyerang sensasi, Safee Sali dan pemain tengah, Baddrol Bakhtiar bagi menggantikan tempat Amri Yahyah dan Mohd. Bahdri Radzi.

Bagaimanapun, anak-anak buah Kiatisuk Senamuang yang memperoleh suntikan semangat di atas kejayaan menjaringkan gol pertama itu dan sorakan padu hampir 50,000 penyokong melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya, mereka berjaya memperoleh gol kedua menerusi Kroekrit Thawikan pada minit ke-86.

Jaringan itu tidak membunuh semangat Harimau Malaya yang terus mengasak kubu lawan untuk mencari gol, sekali gus mengurangkan defisit gol itu.

Pada perlawanan malam tadi, peluang terbaik Harimau Malaya hadir seawal minit ketiga tetapi tandukan lemah pemain sayap kiri, Amri hasil hantaran pemain tengah, Safiq Rahim tepat ke dakapan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Dua minit kemudian, Kawin sekali lagi bertindak cemerlang apabila menepis keluar percubaan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha.

Norshahrul mempersia-siakan satu lagi peluang terbaik apabila gagal melepasi benteng pertahanan pasukan tuan rumah meskipun menerima lorongan bola yang cantik daripada Safiq pada minit ketujuh.

Dalam pada itu, peluang terbaik Thailand pada babak pertama hadir seawal minit keempat tetapi rembatan Mongkol Thosakrai melepasi palang gol manakala percubaan Kroekrit dua minit kemudian tersasar di penjuru kanan pintu gol Malaysia.

Tiga minit sebelum rehat, pemain pertahanan, Fadhli menghadirkan detik cemas buat anak-anak buah Dollah apabila tertanduk bola ke belakang.

Bagaimanapun, Adisak yang di posisi satu lawan satu dengan penjaga gol Harimau Malaya, Farizal mempersia-siakan peluang keemasan itu.

Kali pertama Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki adalah pada tahun 2010 selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Thailand pula menjulang trofi Piala AFF Suzuki pada tahun 2002. Meskipun berjaya menjejakkan kaki ke final, skuad Gajah Putih sekadar menjadi naib juara pada tahun 2007, 2008 dan 2012.

sumber : sukan kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan