Isnin, 1 Disember 2014

'Kami terima 30 janin sehari'

Fakta mengenai polisi satu anak di China memang sudah diketahui umum sejak dulu lagi. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Vietnam juga mewarisi polisi yang le­bih kurang sama dengan menetapkan hanya dua anak bagi setiap keluarga.
Kerana polisi inilah, ditambah dengan kurangnya pendidikan mengenai perancangan keluarga yang selamat, melonjakkan nama Vietnam sebagai negara yang mempunyai kadar pengguguran kandungan tertinggi di dunia.
Menurut laporan yang dikeluarkan doktor di Hospital Obstetrik Central di Hanoi, kira-kira 40 peratus kehamilan di negara itu berakhir dengan pengguguran. Kadar ini dua kali lebih tinggi daripada statistik rasmi kerajaan.
Kuota jumlah anak, kurang pengetahuan mengenai ilmu perancangan keluarga terutama bagi golongan muda dan nasihat mengenai seks yang bercanggah menyebabkan sesetengah wanita menjadikan pengguguran kandungan sebagai kaedah pencegahan kehamilan.
Menurut Institut Alan Guttmacher, sebuah badan tidak berkeuntungan, jumlah pengguguran kandungan di Vietnam amat tinggi iaitu 83 kes bagi setiap 1,000 wanita berbanding 10 hingga 23 kes bagi 1,000 wanita di kebanyakan negara Eropah dan Amerika Syarikat.
Di salah sebuah tapak perkuburan di Hanoi, Nguyen Van Thao membuka peti sejuk dan mengeluarkan satu ­bung­kusan plastik mengandungi janin untuk dikebumikan.
"Kami pernah menerima sehingga 30 janin sehari," kata Thao, yang sudah 10 tahun menjadi ketua sukarelawan mengutip janin-yang biasanya dikategorikan sebagai bahan buangan perubatan dari klinik menggugurkan kandungan di seluruh kota Hanoi.
"Tidak tahu berapa ­banyak yang sudah kami kebumikan," kata sukarelawan, Nguyen Thi Quy, 62, yang membantu Thao membalut janin sebelum ia dikebumikan dengan baik di daerah Soc Son, Hanoi.
Berdekad lamanya, pemerintahan komunis di Vietnam menjalankan polisi dua anak, menggunakan gabu­ngan penalti pentadbiran dan subsidi perancangan keluarga untuk mengehadkan pertumbuhan populasi (pertambahan penduduk). Walaupun skim berkenaan sudah lama dihapuskan, kesannya terus berlanjutan sampai hari ini.
Pengguguran kandungan tidak pernah menjadi tabu di Vietnam. Data rasmi menunjukkan kadar pengguguran yang tinggi iaitu 500,000 bagi 2.4 juta kehamilan atau kira-kira satu kes bagi setiap lima kehamilan. Bagaimanapun jumlah ini hanyalah dari klinik kerajaan, tidak termasuk kes yang dikendalikan di klinik swasta.
"Paling bermasalah ialah golongan muda kerana perkhidmatan dalam sistem kesihatan umum tidak meliputi mereka," kata wakil Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) di Hanoi, Arthur Erken.
Aktiviti seksual dalam kalangan golongan muda di Vietnam juga mengalami perubahan mendadak dalam beberapa dekad kebelaka­ngan ini apabila ramai yang memulakan hubungan seks lebih awal dan kahwin lewat. Bagaimanapun, perubahan itu tidak selaras dengan khidmat nasihat yang disediakan kerana ia tidak memberi pendedahan mengenai kaedah perancangan keluarga yang bersesuaian untuk golongan muda atau pasangan tidak berkahwin.
Inilah yang menyebabkan mereka (golongan muda) memilih pengguguran-yang dibenarkan sehingga kandungan berusia 22 minggu dan boleh dilakukan di mana-mana sama ada klinik berdaftar atau tidak-sebagai jalan mudah membuang kandungan yang tidak dikehendaki.
"Masalahnya, tiada kaedah sistematik untuk memantau klinik swasta. Jumlah pengguguran yang tidak direkodkan mungkin mencecah setengah juta kes," kata Erken.
Tambahnya, jumlah sebenar kes pengguguran kandungan di Vietnam mungkin mencecah satu juta bagi 2.4 juta kehamilan dan ia akan terus bertambah jika tiada langkah pencegahan diambil dari sekarang.
Ketiadaan pendidikan seks di sekolah, kekurangan pengetahuan umum mengenai kesihatan reproduktif dan tiada akses kepada perkhidmatan perancangan keluarga menyebabkan pengguguran anak dianggap sebagai satu perkara biasa oleh golongan muda.
"Saya sudah melakukannya tiga kali," kata Hoa yang baru berusia 20 tahun ketika ditemui di salah sebuah klinik swasta di Hanoi sejurus selepas menggugurkan kandungan ketiganya.
"Pada mulanya saya rasa takut juga tetapi sekarang sudah biasa," sambungnya. Sedihnya, Hoa tidak faham mengapa dia masih mengandung walaupun dia dan teman lelakinya mengambil langkah 'berjaga-jaga'.
Menurut wakil Pathfinder International, organisasi perancangan keluarga, Le Ngoc Bao, ramai golongan muda Vietnam tidak mempunyai pengetahuan mengenai ­kaedah pencegahan kehamilan.
Walaupun pengguguran kandungan sudah menjadi perkara biasa, masyarakat di negara bekas komunis ini masih tidak boleh menerima anak yang lahir di luar ikatan perkahwinan.
"Kalau mengandung sebelum berkahwin, satu-satunya penyelesaian ialah menggugurkan kandungan berkenaan," katanya.
Katanya, kos untuk membeli kondom atau pil perancang dianggap satu isu besar oleh golongan ini kerana mereka tidak faham kesan negatif yang lebih besar bakal ditanggung akibat kerap menggugurkan anak.
Kadar pengguguran yang tinggi di Vietnam juga menjadi petanda bahawa ­penerangan mengenai perancangan keluarga tidak disampaikan dengan baik meskipun statistik menunjukkan penggunakan kaedah pencegahan kehamilan agak meluas.
Malah kaunseling selepas menggugurkan anak sama ada di klinik kerajaan atau swasta juga amat terhad. Inilah sebabnya sesetengah wanita muda mengulanginya beberapa kali.
Kata wakil Persatuan Perancangan Keluarga Vietnam, Dr Tran Ninh, pendidikan seksual dan kontraseptif yang lebih baik perlu diberikan kepada wanita muda dan belum berkahwin.
Polisi dua anak yang diamalkan sejak dulu juga membuatkan semua keluarga mengehadkan jumlah anak mereka.
"Kalau mereka ada tiga anak, ia akan memberi masalah kepada kerjaya. Mereka mungkin tidak menerima kenaikan gaji atau pangkat," kata pakar pembangunan di Pusat Pengajian Pembangunan dan Sokongan Komuniti, Giang Dang.
Menurut Dang, idea dua anak itu sudah berakar umbi dalam pemikiran masyarakat Vietnam dan mencadangkan ia supaya dihapuskan secara rasmi kerana pihak berkuasa masih menggunakannya ­untuk 'mengawal saiz populasi'.
Budaya yang lebih mengutamakan anak lelaki turut menyumbang kepada perkara ini apabila banyak berlaku pengguguran pada janin perempuan.
Bagi mengekang perkara ini, kini Vietnam mengeluarkan perintah larangan untuk memberitahu jantina anak dalam kandungan sebelum ia dilahirkan, walaupun pakar berkata peraturan itu sukar dikuatkuasakan dan dipatuhi.
Kesan daripada pengguguran yang berleluasa dan polisi dua anak itu, Vietnam kini termasuk dalam kategori negara yang mempunyai populasi tua, kata Erken

Tiada ulasan:

Catat Ulasan