Khamis, 18 Disember 2014

Kutip habis 95 GRO asing

Seremban: Seramai 95 wanita warga Vietnam dan dua wanita warga China, dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan polis di beberapa pusat hiburan di Taman Koop serta Pusat Komersial Kemayan Square, di sini, semalam dan kelmarin, dalam dua serbuan yang dijalankan berasingan.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dalam operasi yang dijalankan di Kemayan Square, di sini, awal pagi kelmarin, pihaknya menahan 34 wanita warga Vietnam, dipercayai GRO dan tiada dokumen perjalanan sah.
Katanya, mereka ditahan reman dua minggu bermula kelmarin hingga 29 Disember ini mengikut Akta Imigresen 1959/1963.
“Selain wanita Vietnam terbabit, dua lelaki dan seorang wanita tempatan iaitu penjaga premis turut ditahan dan direman tiga hari bermula kelmarin hingga hari ini,” katanya.
Menurut Muhamad Zaki, dalam operasi dijalankan di Taman Koop, di sini, jam 1 pagi, semalam, pihaknya menahan 61 wanita warga Vietnam dan dua wanita China di beberapa premis hiburan.
Katanya, mereka turut dipercayai bekerja sebagai GRO selain tiada dokumen kemasukan sah ke negara ini.
“Kita mempercayai mereka ini bekerja sebagai GRO namun dinafikan sebagai pengunjung kelab malam terbabit. Sehubungan itu, siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya semua wanita itu berusia antara 20 hingga 30-an.

Tiada ulasan:

Catat Komen