Ahad, 21 Disember 2014

Jual DVD haram untuk pelancong

Johor Bahru: Hasil serbuan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Johor Kementerian Dalam Negeri, dua lelaki penjual cakera video digital (DVD) cetak rompak didakwa di mahkamah, baru-baru ini.
Pengarahnya Vensis Sabin berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 37 dan 52 tahun ditahan ketika beroperasi di pasar malam di bandar raya ini.
Menurutnya, mereka didapati menjual DVD kerana sedar permintaan tinggi termasuk dalam kalangan pelancong.
Katanya, lelaki berusia 37 tahun ditahan di kaunter jualan DVD di pasar malam di Plentong, di sini, pada 6 Ogos lalu manakala lelaki berusia 52 tahun ditahan ketika beroperasi di pasar malam di Taman Johor Jaya, di sini, pada 30 September lalu.
Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan dikenakan hukuman denda di mahkamah pada 15 Disember lalu di mana sekiranya gagal membayar denda, mereka perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan.
“Hukuman diterima kedua-dua lelaki berkenaan seharusnya jadi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak bergiat dalam kegiatan menjual DVD cetak rompak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan