Isnin, 15 Disember 2014

Zahiril Adzim ikhlas berlakon

Sebelum ini, perantaraan antara penulis dengan pelakon ini hanyalah melalui buku puisinya berjudul Bogel Menuju Tuhan. Bagai menusuk ke jiwa, bait-bait nukilannya membuatkan pembaca merasai keikhlasannya dalam melontarkan rasa jiwa, terutamanya apabila melibatkan taakulan soal kehidupan.

Biarpun buku tersebut sedikit mencetuskan kontroversi, namun bagi golongan yang mahu mendalami dan mendekati sebuah karya dari sudut pandang baharu, ia sesuai menjadi ubat jiwa kepada minda yang menginginkan sesuatu.

Buat pertama kalinya berjumpa dengan tuan empunya badan, Zahiril Adzim penuh bersahaja. Dia membawa perbualan kami ke satu topik berkaitan cabaran yang dihadapi anak seni dalam menongkah turun naik industri perfileman.

Mengakui tidak pernah tercabar dengan gelombang pelakon baharu, pelakon Bunohan itu memberitahu, bukan persaingan menjadi ketakutannya dalam menghadapi cabaran industri perfileman tetapi dari segi kualiti pelakon baharu.

“Saya tidak pernah rasa tercabar dengan kemunculan pelakon baharu yang kini bak cendawan tumbuh selepas hujan, namun apa yang menjadi persoalan kepada saya ialah mengenai kualiti dan bakat lakonan yang ada dalam diri mereka.

“Mereka akan menjadi pelapis kepada masa depan industri seni lakonan kita.

“Jika mereka hadir sekadar mengejar glamor, saya tidak pasti sama ada mereka akan pergi lebih jauh dalam industri ini.

“Tambah parah lagi, kualiti bakat mampu memberi impak kepada industri perfileman. Jangan salahkan sesiapa jika industri seni lakonan akan terus lesu,” katanya yang sudah sembilan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Ditanya dengan lebih mendalam mengenai resipi kejayaannya menapak lebih sembilan tahun dalam bidang lakonan, Zahiril yang terkenal menerusi drama Juvana itu memberitahu, keikhlasan dalam melakukan kerja menjadi keutamaan kepadanya.

“Saya lebih rela orang tidak mengenali saya. Bukan kemasyhuran yang dikejar apabila saya berfikir untuk terjun ke dalam bidang ini. Saya melakukan segalanya dengan ikhlas dan Alhamdulillah, apabila Allah tahu niat kita betul, Dia akan membantu.

“Saya hanya bermula sebagai seorang anak teater, tidak ada seorang pun yang kenal, namun niat yang ikhlas disokong oleh sedikit bakat, itu yang menjadi perjudian saya untuk terus berjuang dalam bidang ini. Bukan sekadar mengejar glamor dan mahu jadi terkenal,” katanya penuh bersemangat.

Tiada unsur riak

Dalam pada itu, Zahiril ditanya mengenai sekeping gambar yang menunjukkan dia menunaikan solat di tempat letak kereta ketika menghadiri sebuah majlis anugerah pada 7 November lalu yang menjadi viral di laman sosial.

Menafikan perkara penyebaran gambar tersebut dilakukan secara sengaja, Zahiril memberitahu, dia tidak pernah terniat untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi melibatkan hal keagamaan. Baginya, solat ialah hak Allah. Sebagai manusia biasa dia tidak terdaya untuk menahan pandangan orang luar terhadap dirinya.

Namun sehingga kini, jejaka berasal dari Taiping, Perak ini masih tertanya-tanya mengapa tindakannya itu mendapat reaksi negatif daripada masyarakat.

“Saya tidak takut apa orang nak cakap sebab saya lebih takut kepada diri saya sendiri. Saya takut timbul riak, walhal solat ialah untuk Allah, dan saya hanya tunaikan hutang saya,” katanya.

Ditanya sama ada penyebaran gambar itu memberi impak berbeza terhadap kehidupannya, kata Zahiril, tiada apa yang berubah, memandangkan dia tidak pernah melihat penyebaran gambar itu sebagai sesuatu yang dirangka.

“Tiada apa yang berubah. Apabila disoal mengapa saya tunaikan solat di situ, bagi saya itu sesuatu yang normal buat pelakon seperti saya. Jika saya berada dalam hutan sekalipun, saya masih tunaikan solat. Kalau diikutkan, penyebaran gambar tersebut macam meragut privasi saya tetapi kalau ia mampu membawa mesej yang baik, tidak mengapa,” ujar pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 pada tahun 2008 itu.

Penyebaran gambar tersebut turut menimbulkan persoalan segelintir pihak mengenai pendirian Zahiril terhadap bidang seni. Bagi Zahiril tiada yang salah menjadi seorang anak seni kerana dia lebih tahu kemahuan dirinya.

“Setiap orang ada cara tersendiri dalam berdakwah. Saya tidak cakap saya mahu berdakwah tetapi saya ada cara tersendiri. Sebenarnya, saya sedang menyiapkan sebuah skrip drama bercorak keagamaan. Kalau tiada apa-apa halangan, memang saya mahu mengarahkan sendiri drama berkenaan,” katanya.

Ditebak mengenai penampilan isterinya, Shera Ayob yang kini sudah berhijab, Zahiril memberitahu, sebagai suami, dia menjadi orang yang paling gembira atas keputusan yang diambil oleh isterinya itu.

Dia menafikan ada mendesak isterinya agar bertudung tetapi pada masa yang sama sentiasa mendoakan perubahan isterinya itu ke arah kebaikan.

“Mungkin doa saya dimakbulkan Allah. Sebelum ini, saya tidak pernah mendesaknya untuk mengenakan hijab. Bagi saya, apa yang penting, biarlah perubahan itu datang dengan sendiri. Sebagai suami, saya sentiasa menyokong apa jua keputusannya jika melibatkan kebaikan,” jelasnya.

Rentap penanda aras baharu

Sambil membetulkan posisi kedudukannya, Zahiril membawa butir penceritaan mengenai filem terbaharu lakonannya yang berjudul Rentap. Filem yang sudah ditayangkan sejak 4 Disember lalu itu disifatkan Zahiril sebagai mampu menjadi penanda aras baharu untuk filem aksi tempatan.

“Selalunya, kita lihat genre aksi hanya akan melibatkan pergaduhan dan kekerasan, namun filem Rentap mengadunkan aksi itu melalui sukan lasak parkour. Parkour bukan sahaja sebagai sukan lasak, malah satu bentuk seni mempertahankan diri.

“Rentap menjadi filem tempatan pertama yang mengetengahkan sukan parkour,” ujarnya.

Menerusi filem tersebut, Zahiril bergandingan dengan Syafie Naswip dan Elfira Loy. Memegang watak sebagai Rashdan, Zahiril sempat berkongsi gemuruhnya sewaktu menjalani penggambaran filem yang mengangkat aktiviti parkour sebagai subjek penceritaan itu.

“Filem ini banyak melibatkan aksi dan ketinggian. Saya menjalani latihan selama dua bulan sebelum memulakan penggambaran. Aksi-aksi yang dilakukan juga berdasarkan teknik-teknik sebenar yang ada dalam sukan parkour.

“Sebenarnya, ramai yang tidak tahu bahawa saya seorang takut terhadap ketinggian. Saya mudah berasa gayat. Bagusnya filem ini, ia mengajar saya untuk mengatasi ketakutan terhadap ketinggian.

“Saya juga berharap Rentap mampu memberi pengaruh yang baik kepada golongan belia untuk melibatkan diri dalam sukan lasak tetapi cara yang sihat,” katanya mengakhiri perbualan





sumber : kosmo




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan