Selasa, 2 Disember 2014

Safee diberi amaran kerana merokok

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap penyerang Harimau Malaya, Safee Sali sekiranya mengulangi perbuatan yang dianggap tidak mencerminkan diri sebagai atlet profesional negara.

Safee menerima kritikan hebat selepas gambar penyerang berusia 30 tahun itu menghisap rokok menjadi viral di laman sosial Facebook ketika masih berada dalam kem skuad negara sewaktu kempen Piala AFF Suzuki 2014 masih berlangsung.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui pihaknya telah berjumpa dengan Safee dan beberapa pemain yang berada dalam gambar tersebut dan memberikan amaran keras agar perkara itu tidak berulang selepas ini.

"Kejadian itu berlaku tepat pada pukul 9 pagi di depan hotel penginapan mereka di Singapura dan itu memang kami benarkan mereka keluar pada waktu tersebut kerana perintah berkurung bermula pada pukul 10.30 malam.

"Mungkin dia mengalami tekanan tetapi apa pun ia tetap satu kesalahan tetapi dia telah meminta maaf kepada saya dan Datuk Sudarsono Osman (Pengurus pasukan Harimau Malaya).

"Sudah tentu bagi pihak saya dan FAM agak terkejut dengan kelakuan Safee menghisap rokok kerana ia tidak melambangkan dirinya sebagai atlet dan kami telah memberikan amaran kerasa kepada Safee.

"Sekiranya dia mengulangi perbuatan seperti itu, kami terpaksa ambil tindakan tatatertib seperti mengenakan denda kepada Safee. Saya harap ini menjadi satu pengajaran kepada semua pemain agar jangan menunjukkan imej yang tak baik di khalayak ramai," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh juga mengakui pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) itu telah meminta maaf kepadanya dan tidak berniat untuk mencalarkan imej skuad negara disebakan insiden tersebut.

“Safee ada jumpa saya dan telah meminta maaf. Dia berjanji untuk memberikan prestasi yang lebih baik ketika melawan Singapura dan memang betul dia telah membuktikannya pada perlawanan tersebut.

"Dia mempamerkan satu prestasi yang sudah lama saya tunggu. Bagi saya, kita sudah boleh tutup buku insiden tersebut dan percaya Safee memang bertekad untuk mengembalikan prestasinya.

“Mungkin, ia hanya provokasi daripada pihak Singapura tetapi apa yang penting, Safee tahu menjaga diri dia dan telah melupakan peristiwa itu supaya dia dapat memberikan aksi yang lebih baik khasnya pada aksi separuh akhir (menentang Vietnam, Ahad ini),” jelasnya.

sumber : kosmo sukan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan