Selasa, 23 Disember 2014

Enggan gadai maruah di Hollywood

Tidak perlu sebarang arahan, sebaik sahaja berdiri di hadapan kamera, pelakon Juliana Evans segera memberi aksi yang terbaik. Diakui aura Juliana atau Jue, masih sama seperti tiga tahun lalu, sebelum dia meninggalkan Malaysia dan dunia seni demi mengenggam segulung ijazah Sarjana Muda
Pengajian Media dan Perfileman dari Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat.

Sebelum pulang ke Malaysia pada pertengahan November lalu, Jue atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans juga sempat mengikuti program jangka pendek selama enam bulan di Akademi Filem New York. Katanya, tujuan asalnya pulang ke tanah air demi melepaskan rindu kepada keluarga dan rakan-rakan. Namun, sebaik sahaja dia menjejakkan kaki di Malaysia, sudah berderet tawaran serta kerja menantinya.

“Sebenarnya selepas habis program jangka pendek di Akademi Filem New York , saya ingin tinggal lebih lama di sana untuk mencari peluang kerja. Kebetulan, sebelum balik ke Malaysia, saya mendapat tawaran untuk bernaung di bawah agensi pengurusan bakat Boby Ball dan kerjaya diuruskan oleh pengurus, Anthony Young.

“Saya sendiri tidak sangka dapat rezeki itu. Bagaimanapun, saya terpaksa pulang ke Malaysia untuk beberapa bulan bagi menguruskan dokumen perjalanan diri serta visa untuk bekerja di Hollywood. Apabila saya pulang ke Malaysia, daripada duduk goyang kaki lebih baik saya bekerja sekurang-kurangnya, ada juga pendapatan,” kata Jue jujur.

Terang gadis berusia 25 tahun, dia sendiri tidak menyangka dirinya masih mempunyai permintaan daripada penggiat industri seni tempatan sementelah tiga tahun memberi fokus kepada pelajaran di negara orang.

“Saya tidak sangka diri ini masih diingati oleh peminat dan penggiat seni. Ingatkan orang sudah lupa pada saya, ditambah ramai artis baharu yang muncul, namun sangkaan saya meleset. Sebelum pulang ke Malaysia, pihak pengurusan saya di Malaysia, Uprising Entertainment memberitahu, sudah ada kerja yang menanti.

“Bulan ini saya terlibat dengan penggambaran filem Tujuh Dimensi Alif terbitan Astro Shaw arahan Faizal Ishak. Dalam filem itu saya digandingkan dengan Izzue Islam. Ikutkan boleh sahaja saya beri fokus kerjaya seni di Hollywood terlebih dulu tetapi saya sayang dengan kerjaya di Malaysia. Bukan mudah untuk saya sampai ke tahap hari ini.

“Penyelesaiannya, saya akan mengimbangkan kerjaya seni antara Malaysia dan Hollywood. Cara itu tidak merugikan saya walaupun akan penat tetapi pulangannya lebih berbaloi,” jawab Jue.


Advertisement
TIGA tahun di Amerika, banyak ilmu yang dipelajarinya termasuk menjadikannya seorang yang lebih berdikari.

Syarat ketat di Hollywood

Meskipun sudah menandatangani kontrak dengan agensi bakat pengurusan Boby Ball untuk menguruskan kerjaya seninya di Los Angeles, kata Jue dia meletakkan syarat ketat kepada agensi tersebut iaitu tidak akan berbogel, bercium dan melakukan sebarang adegan intim dalam sebarang tawaran seni yang datang kepadanya.

Kata Jue, dia sedar keterbukaan masyarakat di AS dan syarat itu akan membataskan kerjayanya di sana. Bagaimanapun, Jue tidak sanggup menggadaikan maruah dan prinsip demi seni.

“Syarat saya kepada agensi di sana ialah tidak akan berbogel, bercium dan melakukan sebarang adegan intim dalam mana-mana tawaran kerja. Alhamdulillah, mereka boleh menerima syarat saya dengan baik dan memahami prinsip saya.

“Sebagai orang Malaysia dan Islam saya tahu batas-batas yang harus saya jaga. Jika syarat itu akan mengurangkan tawaran kerja, saya reda, apa yang penting saya berusaha untuk mencari peluang kerja terlebih dahulu,” tutur Jue.

Selain syarat ketat yang diletakkan Jue yang berketurunan Inggeris (bapa) dan Melayu (ibu), masalah terbesarnya di Los Angeles ialah loghat bahasa Inggerisnya yang masih terikat dengan bahasa Inggeris orang Melayu.

“Walaupun saya berasal dari Asia, namun wajah saya lebih mirip kepada gadis Amerika. Kata pihak agensi saya, tawaran lakonan akan lebih kepada watak gadis Barat bukannya Asia, tetapi masalah saya sebutan bahasa Inggeris saya masih kaya dengan loghat Inggeris Melayu sedangkan mereka mahu saya bertutur seperti orang Amerika.

“Oleh itu, saya harus banyak berlatih pertuturan supaya kedengaran seperti orang sana. Walaupun saya boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik dan belajar tiga tahun di sana tetapi loghat mereka sukar diikuti,” balas Jue.

Disoal apakah yang menguatkannya untuk kembali ke Los Angeles (Hollywood) meskipun sedar persaingannya cukup sengit sedangkan kerjanya di Malaysia sudah cukup kukuh, jelas Jue, dia hanya mahu menimba ilmu selain mencabar dirinya sendiri.

“Saya sudah tandatangani kontrak dengan agensi di sana, mahu tidak mahu saya harus kembali ke Los Angeles. Kedua, saya mahu mencabar diri. Saya sedar persaingannya cukup sengit tetapi saya mahu lihat sejauh mana diri saya boleh pergi ke Hollywood dengan bakat yang saya ada.

“Bukan mahu popular atau menjadi artis gred A di Hollywood kerana sedar perkara itu memakan masa yang lama untuk diperolehi, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah berusaha untuk mencapai impian sebagai anak seni. Berjaya atau tidak, pengalaman itu akan saya gunakan pada masa hadapan bukan sahaja untuk diri saya tetapi dikongsi bersama penggiat seni tempatan,” tuturnya penuh serius.


Advertisement
SELAIN ingin meraih pendapatan lumayan dalam dunia seni, Jue juga menyimpan hasrat untuk menubuhkan sebuah akademi lakonan di Malaysia pada masa depan.

Buka akademi lakonan

Apabila ditanya tentang perancangan terbesarnya pada masa hadapan, selain ingin memiliki jenama pakaiannya sendiri, impian Jue ialah untuk membuka sebuah akademi lakonan di Malaysia. Menurutnya, di Amerika, industri seni mereka agak sistematik. Lambakan akademi lakonan di sana memudahkan pelakon untuk mencari kerja.

Ujarnya, di Malaysia mereka yang berasal jauh dari bandar tidak tahu ke mana hala tuju andai ingin menjadi seorang pelakon, justeru itu dia melihat kewujudan sebuah akademi lakonan cukup penting.

“Akademi itu seperti sekolah lakonan. Ia mempunyai bengkel lakonan dan menjadi pusat kepada mereka yang ingin menjadi pelakon tetapi tidak tahu ke mana hala tujunya. Mereka mahu berlakon tetapi tidak kenal mana-mana penerbit atau pengarah, tidak tahu bagaimana untuk memasarkan diri sebagai pelakon dan tidak tahu bagaimana untuk mengasah bakat lakonan.

“Apabila mereka berdaftar di akademi lakonan tersebut, bakat lakonan akan diasah di bengkel lakonan oleh guru-guru terdiri daripada pelakon berkaliber. Melalui cara itu, industri lakonan akan melahirkan pelakon yang berilmu bukan setakat rupa cantik sahaja. Pencari bakat juga dengan mudah memilih pelakon baharu yang mereka inginkan mengikut kesesuaian watak. Jadi, proses menjadi pelakon lebih mudah dan tersusun,” kata Jue.

Sungguhpun itu hanyalah impiannya yang mungkin akan dicapai dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang, sekurang-kurangnya dia merancang untuk menyumbang sesuatu dalam perkembangan industri lakonan tempatan.

“Saya tidak mahu hanya menjadi seorang pelakon tetapi saya juga mahu menjadi penggerak dan penyumbang kepada industri lakonan tempatan. Saya sedar mewujudkan sebuah akademi lakonan bukan mudah tetapi perlu ada usaha daripada sekarang untuk melihat hasilnya pada masa akan datang. Doakan saya berjaya,” tutur Jue menutup bicara

sumber :hiburan kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan