Sabtu, 3 Januari 2015

Banjir: Kisah wira di sebalik tabir

Keadaan banjir di Kelantan
KUANTAN - Sejak bencana banjir melanda negara pertengahan bulan lepas, jumlah mangsa banjir dan bantuan yang disalurkan pelbagai pihak tersiar saban hari baik dalam media cetak mahupun media elektronik.
 
Namun begitu, tidak ramai mengetahui tentang wira di sebalik tabir yang bertungkus lumus menyediakan semua maklumat untuk tatapan umum itu.
Mereka yang bertanggungjawab memainkan peranan penting itu adalah petugas di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dianggotai wakil daripada 17 agensi kerajaan, antaranya pasukan 4 Bridged Mekanise, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang dan Jabatan Pertahanan Awam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamad Noor Yusuf Ali berkata PKOB Pahang beroperasi 24 jam sehari di tingkat tujuh Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang untuk memastikan semua pihak memperoleh maklumat tepat bagi membolehkan bantuan disalurkan.
"Kami bertugas tiga syif dan setiap syif seramai 30 orang. Walaupun tidak berada di lapangan, anggota yang bertugas di sini tidak menang tangan menerima panggilan telefon seterusnya melaporkan lokasi mana yang kritikal dan perlu diberi perhatian segera.
"Contohnya, apabila kita menerima panggilan daripada orang awam mengatakan ada mangsa banjir sakit tenat dan perlu segera dihantar ke hospital, maka TUDM bertindak menggerakkan aset helikopternya untuk menyelamatkan mangsa terbabit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, pada masa sama, penyelia bertugas sentiasa memberi taklimat dan motivasi kepada petugas di sini agar mereka tidak bekerja dalam keadaan tertekan walaupun kediaman serta keluarga petugas itu sendiri turut terlibat dalam musibah banjir.
 
Beliau berkata setakat ini 40 keluarga anggota polis melibatkan 219 mangsa terpaksa berpindah ke asrama polis di Alor Akar dekat sini sejak Isnin lepas setelah kediaman mereka dinaiki air.
Sementara itu, Kapten Zoolamali Shodali dari TUDM Kuantan berkata pengalaman pertama kali bertugas di PKOB semasa musim banjir ini benar-benar mencabarnya terutama dalam melayani panggilan dan kerenah mangsa banjir. 

"Setiap minit telefon berdering... rata-ratanya daripada orang awam atau mangsa banjir. Mereka tidak putus-putus meminta bantuan supaya diselamatkan dan ada yang merayu meminta bantuan makanan.
"Kadang-kadang saya turut berasa sebak namun tetap melayan panggilan mereka sebaik mungkin," katanya merujuk kes pelancong yang terperangkap di Taman Negara, Jerantut baru-baru ini.
Zoolamali berkata, beliau turut menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan tentang seorang pesakit buah pinggang di Temerloh yang dalam keadaan kritikal dan perlu dihantar ke hospital segera.
"Tugas utama saya adalah mengesan lokasi itu serta koordinat tempat kejadian selain bekerjasama dengan polis mencari kawasan selamat yang paling hampir dengan lokasi mangsa sebelum menghantar bantuan udara untuk mengambil pesakit," katanya.
Penguasa Bomba dan Penyelamat negeri Muhammad Khairul Nizam Mardi pula berkata beliau bersama rakan setugasnya, Penolong Penguasa Bomba Fariz Ab Rahim terpaksa bekerja 12 jam sehari bagi dua syif di sini.
"Rutin bekerja dengan masa yang tidak menentu sejak Jumaat lepas dan walaupun kami di sini tidak dapat turun padang membantu, khidmat kami di sini sebenarnya juga sangat penting kerana kami merupakan orang pertama yang menerima laporan dan maklumat daripada orang awam serta mangsa banjir yang memerlukan bantuan.
"Hasil latihan yang mencukupi sebelum ini, kami tidak ada sebarang masalah untuk bekerja tanpa mengira masa demi sama-sama membantu mangsa-mangsa banjir di luar sana," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan