Selasa, 13 Januari 2015

Sumbat 17 Pati dalam dua kereta

Syed Basri menunjukkan tayar kereta yang digunakan untuk menyeludup Pati bocor selepas terbabas di pembahagi jalan ketika cuba lari daripada ditahan UPP, Perlis.PADANG BESAR - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) menahan 20 pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk tiga tekong tempatan, dalam tangkapan berasingan di Jalan Sahabat, Kaki Bukit dan Jalan Gial, Mata Ayer, dekat sini, semalam.

Komander UPP Perlis Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian jam 5.10 pagi semalam, anggota UPP Padang Besar menahan Proton Wira kelabu yang dalam perjalanan dari Jalan Sahabat, Kaki Bukit, menghala ke Kangar.

Beliau memberitahu, setelah diperiksa, seramai lima Pati termasuk seorang wanita dan kanak-kanak lelaki berada di tempat duduk belakang, manakala dua lagi berada dalam but kereta.

“Mereka ditahan setelah gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

"Turut ditahan dua tekong, iaitu pemandu dan penumpang tempat duduk hadapan warga tempatan berusia 49 dan 46 tahun.

“Kira-kira 25 minit kemudian, sekumpulan anggota yang turut membuat rondaan menahan 10 Pati warga Myanmar menaiki Proton Wira kuning di Jalan Mata Ayer.

"Seorang tekong yang memandu kereta juga ditahan,” katanya kepada pemberita di Kompleks UPP Padang Besar, di sini, semalam.

Menurut Syed Basri, tiga Pati dari Myanmar berada di dalam but, manakala tujuh lagi berhimpit di tempat duduk belakang dan seorang wanita di tempat duduk penumpang hadapan.

Beliau berkata, kesemua Pati yang ditemui itu, berusia antara setahun dan 32 tahun dipercayai bolos melalui pagar sempadan Malaysia-Thailand antara jam 3 dan 5 pagi semalam, sebelum dijemput tekong darat di sempadan.

“Kita syak mereka ini masuk beramai-ramai sebelum menaiki dua kereta itu dan berpecah.

“Seramai 17 Pati terbabit kini ditahan untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan tiga tekong itu disiasat mengikut Akta Atipsom Seksyen 26(A) 2007 pindaan 2010 kerana memperdagangkan manusia,” katanya

sumber sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan