Selasa, 9 Disember 2014

tunggu hukuman yang setimpal

Kuala Lumpur: Disebabkan segelintir penyokong yang tidak bertamadun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mungkin berdepan hukuman berat Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) berikutan insiden keganasan penyokong pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2014 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

AFF sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada badan induk bola sepak tanah air itu untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan beberapa penyokong Vietnam dipukul penyokong tuan rumah pada perlawanan itu.

Menurut Setiausaha Agung AFF Datuk Azzuddin Ahmad, pihaknya bersedia mengambil tindakan tegas jika terbukti benar keganasan itu berlaku serta membabitkan kelemahan pengurusan keselamatan tuan rumah.

“Kami sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada FAM hari ini (semalam) dan mereka perlu membalas surat itu dengan penjelasan terperinci dalam tempoh seminggu berhubung kejadian itu.

“Selepas kami menerima surat penjelasan itu, Jawatankuasa Pertandingan AFF dan Jawatankuasa Disiplin akan bermesyuarat bagi meneliti serta membuat keputusan mengenai bentuk hukuman,” katanya.

Insiden memalukan itu dikatakan berlaku kira-kira lima minit sebelum tamat membabitkan beberapa penyokong tempatan yang bertindak memukul penyokong Vietnam.

Walaupun polis dan petugas keselamatan stadium berjaya meleraikan pergaduhan itu, namun dipercayai ada penyokong pasukan pelawat mengalami kecederaan.

Pada perlawanan itu, Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam dan mereka akan membuat perhitungan sekali lagi bagi aksi timbal balik di Hanoi Khamis ini.

Azzuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hukuman yang akan diterima FAM sama ada denda atau beraksi tanpa penonton, namun menegaskan kes itu juga kini dalam perhatian Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai hukuman dikenakan jika FAM didapati bersalah kerana biarlah kes itu diteliti terlebih dulu.

“Tapi bagi saya insiden ini cukup mengecewakan kerana ia berlaku di Malaysia sedangkan negara lain yang turut menganjurkan perlawanan ini tidak berlaku,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan