Ahad, 7 Disember 2014

‘Usik Vietnam boleh tapi jangan melebihi batas’

SELAMANYA! Selamanya! Selamanya Harimau Malaya’.

Inilah sorakan keramat hampir 70,000 penyokong Harimau Malaya bakal bergempita di Stadium Shah Alam dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam, malam ini.

Apa yang pasti, pertembungan menentang Vietnam mengimbau kembali kejayaan skuad negara yang berjaya menjuarai Piala AFF edisi 2010 yang mana kita berjaya menewaskan mereka 2-0 pada aksi separuh akhir di laman sendiri sebelum terikat tanpa jaringan di Hanoi.

Apapun, kejayaan lalu sudah menjadi sejarah manis dan kita harus fokus dengan aksi sebenar serta memandang ke depan untuk mengulangi prestasi cemerlang pasukan kebangsaan.

Ini kerana kita tidak boleh cepat melatah atau mendabik dada di atas kejayaan lalu.

Bukan apa, kata orang ‘yang dikejar tidak dapat, yang digendong berciciran’. Pendapat saya, lebih baik kita berpegang kepada realistik dengan terus memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.

Pada masa sama, saya ingin melahirkan rasa kagum terhadap semangat penyokong dari Ultras Malaya.

Masakan tidak, dengan sorakan 2,000 penyokong Ultras Malaya berjaya menenggelamkan ‘Aura Kallang’ ketika menewaskan Singapura 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan B, apatah lagi jika mereka bakal membimbing 70,000 penyokong untuk meniup semangat perjuangan skuad Harimau Malaya.

Pada masa sama, saya berharap Ultras Malaya dapat menjadi contoh baik kepada penyokong yang lain. Janganlah kita terlalu cepat menghukum tanpa menilai yang mana saya berharap perlawanan malam ini akan berlangsung dengan penuh semangat kesukanan.

Kita boleh ‘usik’ Vietnam tetapi janganlah sampai melebihi batas sehingga menyentuhi sensitiviti mereka yang mana bola sepak adalah sukan perpaduan, bukannya memecah belah antara satu sama lain.

Akhir kata, saya juga tidak mahu terlepas untuk bersorak seperti Ultras; ‘Tak peduli apa orang nak kata! Tak peduli walau bukan juara! Kami bangga jadi anak Malaysia! Kami rela mati pertahankannya! Ooo.. Bersama selamanya!’

Yakin boleh! Malaysia Boleh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan