Rabu, 11 Februari 2015

Kelantan jamin Brendan dapat rawatan terbaik

KELANTAN memberi jaminan untuk menyediakan rawatan terbaik buat pemain tengah mereka, Brendan Gan yang mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada aksi Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu lalu.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, keputusan tersebut adalah untuk memastikan pemain berkenaan pulih sepenuhnya bagi membantu The Red Warriors (TRW) mengharungi kempen liga musim ini.

“Bukan sahaja rawatan, kita juga akan pastikan Brendan menjalani proses pemulihan yang rapi agar tahap kecergasannya kembali seperti biasa memandangkan dia antara watak penting dalam skuad Kelantan.

“Buat masa ini, kita terpaksa melupakan khidmat Brendan kerana dia terpaksa berehat panjang antara enam hingga lapan bulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, beliau berharap Brendan akan pulih sepenuhnya menjelang saingan Piala Malaysia.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan, TRW terpaksa menelan kepahitan apabila kehilangan pemain serba boleh itu yang disahkan mengalami kecederaan ACL selepas aksi menentang ATM di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Pada perlawanan itu, Brendan yang masuk menggantikan Mohd. Farisham Ismail mengalami kecederaan selepas 10 minit beraksi.

Keadaan tersebut memaksa TRW beraksi dengan 10 pemain, namun skuad kendalian Goerge Boateng itu menang 2-0.

Azman memberitahu, Kelantan sememangnya merasai kehilangan Brendan memandangkan dia seorang pemain yang boleh beraksi di banyak posisi.

Katanya, bukan itu sahaja, Brendan turut mempunyai disiplin dan sema­ngat juang yang tinggi dalam setiap perlawanan mahupun ketika sesi latihan.

“Saya harap pemain muda, Rozaimi Azwar Mat Nor dapat diketengahkan dan mengisi kekosongan sepanjang ketiadaan Brendan,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan