Khamis, 25 Disember 2014

Sumpahan Hantu Langsir

Sumpahan Hantu LangsirTINGGAL seminggu lagi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2014. Sebagai penutup tirai bagi Slot Cerekarama, sebuah telefilem menarik, Hantu Langsir, bakal dihidangkan khas buat penonton setia TV3, pada 27 Disember, jam 9.00 malam.

Dibintangi ramai pelakon hebat seperti Harun Salim Bachik, Afiq Muiz, FaraLyana, Liza Abdullah, Arash Mohd, Benz Kenopyl, Abon serta penampilan istimewa, Izzue Kepoh (BMB), telefilem terbitan Langkah Karya Production Sdn.Bhd, ini diarahkan pelakon veteran terkenal iaitu Datuk Tarmimi Siregar.

Selaku penerbit, Hazmimi Johar berkata, biarpun Hantu Langsir mengangkat kisah seram, namun ia turut diselitkan elemen komedi.

Katanya, telefilem ini berdasarkan masyarakat Melayu tipikal yang masih lagi percaya akan sumpahan Hantu Langsir yang pernah mengamuk di Kampung Langsir.

"Hantu Langsir ini akan muncul berdekatan tingkap-tingkap rumah penduduk kampung. Namun ia hanyalah cerita rekaan semata-mata.

"Apa yang kami paparkan menerusi telefilem ini berdasarkan pemerhatian kami terhadap karakter-karakter orang kampung yang masih percaya cerita tahyul.

"Walaupun sarat dengan unsur mistik, telefilem ini turut ditambah dengan elemen percintaan dan persahabatan sesuai untuk semua lapisan umur," katanya.

Selain jalan cerita yang menarik, Hazmimi berkata gandingan pelakon lama dan pelawak terkenal pastinya akan memberi satu kelainan buat penonton.

Diganggu penunggu hutan

Tidak lari dari gangguan mistik, Hazmimi memberitahu, mereka turut berdepan dengan situasi sedemikian ketika menjalani penggambaran di hutan.

“Ada pelakon yang mengalami pengalaman seolah-olah bahu mereka memikul sesuatu yang berat, diikuti sepanjang perjalanan pulang dari Pahang ke Kuala Lumpur serta sakit-sakit badan selepas penggambaran.

“Mungkin lokasi yang dipilih berdekatan dengan pokok-pokok besar yang dianggap ‘keras’ oleh masyarakat menyebabkan kejadian ini berlaku.

“Malah ada yang melihat kelibat putih, namun kami bernasib baik kerana tiada sebarang kejadian histeria atau dirasuk berlaku,” ujarnya.

Akui situasi itu merupakan kejadian biasa bagi mana-mana penggambaran yang melibatkan unsur mistik, Hazimi berkata, pihaknya turut membuat persediaan bagi mengatasi perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

"Sebelum memulakan penggambaran, kami ada memanggil ustaz untuk membacakan doa selamat, apatah lagi inilah telefilem seram pertama percubaan kami.

"Alhamdulillah, mujurlah tiada perkara-perkara buruk yang menimpa pelakon dan kru produksi.

"Malah, saya juga bersyukur kerana penggambaran telefilem ini dapat disiapkan dalam tempoh enam hari meskipun lokasi di Pantai Timur sedang musim tengkujuh," katanya.

Sedikit mengenai sinopsis, telefilem ini mengisahkan sumpahan Hantu Langsir yang berlaku pada tahun 1964 kini kembali menimbulkan huru-hara di sebuah kampung.

Tiada ulasan:

Catat Komen