Khamis, 18 Disember 2014

Jangan pertikai rezeki orang – AC, Nabil

Kemas dan segak penampilan pengacara dan pelawak, Datuk AC Mizal serta Nabil Ahmad pada majlis sidang akhbar pengumum
an hos Anugerah MeleTop Era yang berlangsung

di Restoran Soju Bar, Pavillion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meskipun penampilan berbeza daripada kebiasaan, namun celoteh mereka sama seperti selalu, tidak pernah gagal membikin orang ketawa.

Bertemu mereka berdua selepas diumumkan menjadi pengacara majlis Anugerah MeleTop Era buat kali kedua, temu bual yang disulami gelak tawa bertukar serius apabila mereka mula meluahkan rasa kecewa kerana pekerjaan individu seperti mereka yang lebih sinonim dengan humor selaku pengacara menjadi pertikaian orang lain.

Isu tersebut mula berbangkit daripada kenyataan seorang pengacara yang mempersoalkan pihak penganjur serta televisyen kebelakangan ini lebih gemar mengambil pelawak menjadi pengacara berbanding pengacara profesional dan serius.

AC atau nama sebenarnya, Mizal Zaini bermula sebagai seorang penyanyi, kemudian berlakon dan akhirnya kini dikenali pengacara turut terasa hati dengan kenyataan pengacara tersebut meskipun dia bukanlah seorang pelawak.

“Saya bukan pelawak tetapi saya pengacara yang sering membuat lawak apabila mengendalikan sesebuah program turut terasa tempias kenyataan tersebut. Tidak wajar untuk kita mempertikaikan rezeki orang lain. Ya, saya mengaku sekarang trend pelawak menjadi pengacara kerana itu kehendak pasaran semasa.

“Pelawak yang tiada asas menjadi pengacara harus belajar bagaimana untuk mengendalikan sebuah majlis. Begitu juga dengan saya, untuk menghiburkan penonton, selain menjalankan tugas hakiki sebagai pengacara supaya majlis berjalan lancar, saya juga berlawak sekali-sekala supaya penonton tidak bosan dan tertarik dengan cara penyampaian saya,” kata AC penuh serius.


Advertisement
NABIL mengaku mempunyai keserasian bersama AC sebagai pengacara di atas pentas.

Tambah AC lagi, untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai anak seni, seseorang itu harus meningkatkan diri mereka ke tahap yang lebih tinggi supaya tidak tertinggal dengan orang lain. Bahkan dia melihat pekerjaan antara pengacara dan pelawak tidak jauh bezanya.

“Pengacara kelebihannya bercakap, begitu juga dengan pelawak. Cuma pelawak ada satu kelebihan lagi iaitu buat orang ketawa.

“Saya sudah berusia 42 tahun tetapi masih terkinja-kinja di atas pentas, bukan saya suka-suka tetapi itulah kehendak penonton program yang saya kendalikan. Saya bagi contoh, jika trend tahun depan meminta pengacara menangis sambil bercakap, saya akan menangis (ketawa).

“Penyanyi tidak boleh marah atau paksa peminat suka lagu mereka kalau lagu itu tidak sedap, situasi yang sama dalam bidang pengacaraan.

“Dunia seni persaingannya cukup sengit tidak kiralah penyanyi, pelakon, pelawak mahupun pengacara. Justeru, harus sentiasa ada peningkatan diri dan lakukan sesuatu pekerjaan mengikut kemampuan diri,” luah AC.

Nabil yang duduk di sebelah mengiyakan pendapat AC dan menambah, setiap pelawak yang menjadi pengacara mempunyai inisiatif untuk meningkatkan diri masing-masing ke tahap seterusnya dalam dunia seni.

Katanya, bukan mudah untuk mengacara sebuah program dan pada masa yang sama membuat lawak.

“Golongan pelawak bukannya merampas rezeki orang kerana rezeki itu diberikan oleh Allah. Saya bersyukur kerana golongan pelawak telah diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi selain membuat orang ketawa sahaja. Harus diingat tugas pelawak bukan mudah.


Advertisement
NABIL dan AC berjanji akan memberi persembahan terbaik pada majlis anugerah yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 Februari tahun depan.

“Saya harus belajar bagaimana untuk kawal sesebuah majlis, kemudian memikirkan lawak yang sesuai dengan sesuatu acara. Jika yang jemput saya merupakan golongan korporat, tidak mungkin saya buat lawak depan ketua mereka dengan lawak dalam program Maharaja Lawak, misalnya.

“Saya harus buat kerja rumah, siapa tetamu yang hadir, lawak bagaimana yang boleh tarik perhatian mereka,” tutur Nabil.

Beritahu Nabil lagi, peluang kerja sebagai pengacara cukup terbuka luas sehingga kadangkala dia terpaksa menolak tawaran itu dan memberikannya kepada rakan yang lain. Itu membuktikan peluang kerja sebagai pengacara masih banyak permintaannya.

“Permintaan terhadap pengacara majlis cukup tinggi. Bayangkan, kadangkala saya terpaksa tolak tawaran kepada orang lain. Jadi, golongan pelawak bukanlah penutup periuk nasi golongan pengacara serius. Jika tidak mahu rasa ketinggalan, pengacara serius harus belajar membuat lawak.

“Jangan mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan kelemahan diri sendiri. Contoh pengacara serius yang berjaya, Datuk Mahadzir Lokman, beliau kekal bertahan walaupun beratus pengacara baharu yang muncul kerana beliau boleh bertutur banyak bahasa selain bahasa Melayu dan Inggeris.

“Jika mahu jadi sepertinya, harus ada peningkatan dalam diri selain hanya tahu bercakap sahaja. Kami pelawak tidak terjejas dengan kenyataan dikeluarkan pengacara tersebut,” kata Nabil.

Nabil mahu Neelofa

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang mengumumkan AC dan Nabil selaku pengacara majlis Anugerah MeleTop Era, pihak Astro masih merahsiakan nama pengacara lain yang akan bergandingan dengan mereka berdua.

Apabila ditanya adakah pengacara tetap program MeleTop iaitu Neelofa akan turut serta dalam majlis anugerah itu, pihak Astro tidak dapat memberikan sebarang pengesahan, sebaliknya akan mengumumkan pengacara tambahan dalam sidang akhbar akan datang.

Nabil yang disoal tentang kemungkinan ketiadaan Neelofa dalam majlis anugerah yang akan berlangsung pada 22 Februari 2015 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu bagaimanapun mengharapkan teman gandingannya itu akan turut serta bersamanya dan AC selaku pengacara majlis Anugerah MeleTop Era.

“Sudah bertahun-tahun saya bergandingan dengan Neelofa dalam program MeleTop, jika tiada dia, saya rasa agak janggal. Kami berdua sudah serasi mengendalikan sebuah program. Nama pun sudah anugerah MeleTop, jika tiada Neelofa tidak lengkaplah kerana program MeleTop sinonim dengan saya dan Neelofa.

“Sebenarnya saya sendiri tidak tahu siapakah pengacara yang akan digandingkan bersama saya dan AC. Tidak kisahlah siapa yang akan digandingkan bersama kami, orang itu harus mempunyai keserasian di atas pentas,” tutur Nabil.

Bercakap mengenai majlis anugerah yang akan berlangsung buat kali kedua itu, timbul kebimbangan di hati Nabil kerana awal tahun ini ia berlangsung dengan jayanya apabila meraih seramai 1.2 juta orang penonton.

“Saya bimbang harapan tinggi yang diletakkan penonton kepada saya dan juga rakan pengacara yang lain. Jadi, saya perlu beri yang terbaik,” jelas Nabil.

AC turut mencelah, jika terlalu ramai pengacara yang digandingkan, dia bimbang akan timbul situasi kecoh di atas pentas apabila masing-masing berebut untuk bercakap.

“Betul kata Nabil. Orang itu harus serasi dengan kami berdua. Bimbang juga jika kami berdua buat lawak, orang ketiga itu tidak dapat tangkap apa yang kami cuba sampaikan. Selain itu, saya juga bimbang kecoh atas pentas kerana masing-masing ingin bercakap dan rebut perhatian.

“Paling penting pada majlis anugerah itu adalah tentang artis yang menghadiri majlis itu serta penonton, bukan tentang pengacara. Kerja kami memeriahkan lagi majlis tersebut,” kata AC.

Kategori baharu

Sementara itu dalam majlis sidang akhbar Anugerah MeleTop Era, turut diumumkan empat buat kategori baharu daripada 18 buah kategori keseluruhannya.

Kategori baharu yang diperkenalkan ialah Drama TV MeleTop, Hos TV MeleTop, Artis Lawak MeleTop dan Pelakon TV MeleTop.

Selain itu dua kategori iaitu Top Top MeleTop (Lelaki) dan Top Top MeleTop (Wanita) dipilih berdasarkan selebriti lelaki dan wanita yang menerima undian tertinggi dalam kalangan lima calon terbaik.

“Penambahan kategori dilakukan dilakukan bersesuaian dengan pasaran semasa. Kini, terdapat banyak drama yang berkualiti serta memberi impak kepada penonton, justeru itu diadakan kategori untuk drama. Begitu juga dengan kategori yang lain, semuanya meraih perhatian luar biasa daripada penonton.

“Pihak kami berbangga, meskipun baru diperkenalkan pada awal tahun ini, Anugerah MeleTop Era telah mendapat sokongan semua pihak termasuk media, penonton dan juga artis,” kata Penolong Naib Presiden Astro Ceria & Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin.

Lagu yang dipertandingkan dalam Anugerah MeleTop Era pula dipilih berdasarkan undian yang dibuat oleh peminat di radio Era FM.

“Kesemua lagu yang dipertandingkan berdasarkan lagu yang meraih undian paling banyak di stesen radio Era FM. Bukan kami yang memilih, sebaliknya peminat. Jika mereka ingin penyanyi kesayangan menang anugerah, mereka harus undi sekali lagi di laman web yang disediakan,” kata Pengurus Kandungan Era FM, Nazri Noran.

Setiap penyertaan yang dicalonkan telah dinilai oleh juri jemputan khas yang berpengalaman untuk menyenarai pendek calon kepada 20 nama bagi setiap kategori.

Anugerah yang menggunakan format undian seratus peratus itu telah pun membuka undian kepada peminat bermula 12 Disember lalu hingga 12 tengah hari, 11 Januari 2015.

Peminat boleh mengundi calon kegemaran mereka melalui dua cara iaitu menerusi laman web www.meletop.com.my dan www.era.fm atau menggunakan aplikasi Astro View yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store dan Google Play Store mulai hari ini.

sumber: hiburan kosmo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan