Ahad, 7 Disember 2014

Menghitung hari untuk disatukan

Pelakon yang semakin mencipta nama, Saiful Redzuan Abu Bakar atau Wan Raja dan Rabbiati Ada­wiyyah Ismail (Yaya Maembong) kini menghitung hari untuk disatukan sebagai suami isteri.

Majlis akad nikah akan berlangsung pada 12 Disember ini, diikuti acara resepsi dua hari kemudian di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, manakala majlis menyambut menantu diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.

Sewaktu dihubungi, Wan Raja dan Yaya sibuk menguruskan hari bahagia mereka, terutama membabitkan majlis persandingan bertemakan bangsawan.

Mengulas pemilihan tema itu, pelakon ini yang mula dikenali menerusi filem ..... Dalam Botol berkata, ia bagi mengimbas kembali perkenalan mereka di pentas teater.

"Dalam kad jemputan, kami menetapkan konsep tradisional atau bangsawan dengan harapan dapat menghidupkan lagi suasana majlis. Saya dan Yaya mahu jadikan majlis ini pengalaman indah untuk dikenang hingga ke akhir hayat.

"Untuk majlis di Pulau Pinang pula, saya memilih tema P Ramlee dan Saloma kerana rumah saya dekat dengan Muzium P Ramlee. Karier saya pun bermula di situ apabila menjayakan banyak pementasan teater kecil," katanya.

Berdasarkan tema itu pasti besar belanjanya, namun Wan Raja menjelaskan, dia bertuah kerana sebaik bertunang dengan Yaya, banyak pihak berminat menaja majlis persandingan mereka.

"Putree Bridal dan Wedding Studio akan merealisasikan teman pilihan kami di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Persalinan kami pula ditaja Asimareen Atelier, Razman Razmi dan Centre Stage. Sahabat karib Yaya iaitu Epie Temerloh akan mengandam kami.

"Asalnya kami mahu majlis pernikahan dan persandingan yang ringkas. Macam orang kita selalu cakap 'kahwin koboi', tetapi apabila ada rakan mahu menaja, perancangan pun berubah," katanya.

Tambahnya, ada penaja bertindak selaku perunding perkahwinan dan meletakkan syarat bahawa majlis yang dirancang tidak boleh dibuat secara kecil-kecilan serta sanggup menyiapkan segala-galanya.

"Saya bersyukur dengan kesudian mereka dan semua ini rezeki diberikan Allah atas niat saya serta Yaya yang mahu berumah tangga kerana-Nya. Sebelum ini ada rakan media bertanya, tidak takutkah kalau ada penaja menarik diri? Tentu saya takut, apatah lagi majlis semakin hampir. Tak sangka pula ada yang jadikan ia isu.

"Apapun, syukur perancangan berjalan lancar dan setakat ini tidak ada penaja tarik diri seperti digembar-gemburkan," katanya.

Mengimbau detik perkenalan dan percintaan pasangan romantik ini, semuanya bermula di pentas teater dan mereka serasi berkawan.

"Hampir dua tahun kami berkawan baik hingga wujud rasa sayang. Saya membuat keputusan menyunting Yaya menjadi suri hidup dan pada 10 Syawal lalu, kebetulan keluarga saya datang ke Kuala Lumpur dan merancang merisik Yaya.

"Kebetulan ayah tidak berapa sihat, sukar untuknya berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, jadi majlis risik terus bertukar menjadi majlis pertunangan," katanya.

Tambahnya, sewaktu mengikat tali pertunangan, keluarga kedua-dua pihak menetapkan majlis pernikahan dan persandingan berlangsung pada Disember.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan