Jumaat, 26 Disember 2014

Nik Aziz keletihan, rehat di hospital

Facebook Nik Abduh
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan sedang berehat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurut anaknya, Nik Mohamad Abduh, bapanya berehat di hospital akibat keletihan.

“Pagi ini saya menziarahi ayahanda Tuan Guru di hospital HUSM yang sedang berehat di hospital selepas tampak keletihan minggu ini.

“Ayahanda bertanya mengenai situasi banjir dan saya beri sedikit maklumat terkini dan kesukaran yang terpaksa ditempuh oleh mangsa dan operator penyelamat,” katanya yang dipetik melalui kemas kini status terkini di Facebooknya, pagi ini.

Katanya, meskipun kesihatan Nik Aziz semakin baik namun bekas Menteri Besar Kelantan itu berehat lebih lama ekoran keadaan banjir yang belum pasti.

“Walaupun sudah agak sihat pagi ini, ayahanda mungkin berehat sedikit masa lagi di sini kerana keadaan banjir yang belum pasti.

“Kiri kanan kampung Pulau Melaka kini menjadi aliran sungai yang deras. Bagaimanapun keadaan terkawal. Kawasan di sekeliling sungai Kelantan terjejas teruk,” katanya.

Nik Abduh sempat mengajak orang ramai berdoa atas keselamatan semua.

“Semoga ALLAH meredakan hujan dan angin kencang membadai lautan.

Semoga ALLAH menunjukkan kita jalan yang lurus. La Haula Wa La Quwwata Illa Billah,” tulisnya lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan