Khamis, 25 Disember 2014

Bot polis terbalik, 3 anggota nyaris hanyut

KUALA LIPIS - Sebuah bot polis yang dinaiki tiga anggota membawa bekalan makanan ke Kampung Kuala Kenong terbalik, hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku apabila bot itu melanggar wayar boya kampung berkenaan.

“Ketika kejadian dua buah bot polis dan sebuah bot bomba sedang dalam misi menghantar bekalan makanan termasuk beras kepada penduduk di Kampung Kuala Kenong.

“Setelah melanggar wayar boya tersebut bot berkenaan telah terbalik lalu mengakibatkan seorang anggota dihanyutkan arus deras manakala dua lagi sempat berpaut pada wayar berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Razak yang turut menyertai misi berkenaan bersama Pegawai Daerah Lipis, Datuk Ahmad Daud kemudiannya membantu menyelamatkan anggota terbabit.

“Pasukan bomba bertindak segera menyelamatkan anggota yang dibawa arus deras. Kita bernasib baik kerana semua anggota memakai jaket keselamatan selain mereka telah dilatih menghadapi musibah ketika banjir.

“Paras air sungai yang mencecah 13 meter menyebabkan anggota tidak nampak wayar boya yang berselirat di dalam air,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan