Ahad, 28 Disember 2014

Semadi sebelah pusara isteri

KEMAMAN - “Makcik lega,” kata Zariah Awang Jusoh, 70, apabila mayat anak tunggalnya yang dihanyutkan arus deras semasa menaiki bot penyelamat untuk berpindah ke pusat pemindahan, akhirnya dijumpai kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam, iaitu selepas 20 jam mayat menantunya ditemui.

Mayat Suhaimi Awang, 37, ditemui tersangkut pada kayu dalam jarak 10 meter dari lokasi isterinya, Norhayati Sulong, 37, yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga dijumpai kelmarin.

Dengan penemuan mayat kedua pasangan itu, enam anak pasangan malang itu, Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izzah Insyirah, 11; Muhammad Irfan Irsyad, 9; Nor Intisar Izdihar, 4, dan Nor Adifa Arissa, 4 bulan, kini bergelar yatim piatu.

Anak sulung hingga anak ketiga pasangan itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai sementara anak keempat bersekolah di Pasti Kampung Mak Chili.

Penemuan mayat itu juga memakbulkan hasrat Zariah untuk menatap buat kali terakhir wajah anaknya yang hilang bersama isteri sejak Rabu lalu selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terbalik.

Bagaimanapun, Zariah yang ditemui selepas melakukan pengecaman ke atas mayat anaknya itu di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman enggan mengulas lanjut kerana masih trauma dengan insiden berkenaan.

Jenazah Suhaimi selamat disemadikan bersebelahan pusara isterinya selepas waktu solat Asar semalam, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabor Kubur, Chukai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, jenazah Suhaimi ditemui oleh pasukan skuba bomba dan Rescue Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman yang melipatgandakan pencarian di sekitar mayat pertama dijumpai.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keempat ini dilakukan oleh 22 anggota polis, 25 anggota bomba dan 25 anggota tentera dengan menggunakan dua buah bot bomba, dua buah bot orang awam dan sebuah bot polis.

“Oleh itu saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pasukan penyelamat yang terlibat dengan operasi SAR ini. Dengan penemuan kedua-dua mangsa ini, operasi SAR ditutup secara rasmi pada jam 2 petang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan