Rabu, 11 Februari 2015

Belum terkubur! Meditasi kembali dengan konsert

Meditasi
BIARPUN terpaksa mengharungi pelbagai halangan di dalam industri muzik tempatan, nama kumpulan rock popular era 90-an, Meditasi tidak pernah terkubur.

Malah demi mempertahankan nama dalam industri, kumpulan yang menampilkan barisan anggota baharu seperti Raof (Keyboard), Mohd Yusof (Gitar kedua), Black (Bassist), J Roy (Dummer), selain mengekalkan dua anggota asal, Bakaruddin (Burn) selaku vokalis dan Rosli Ahmad (Liey) sebagai gitaris utama masih giat mengatur langkah mereka.

Menurut Burn, kehadiran 2015 telah membuka lembaran baharu buat kumpulan ini untuk terus bertahan dalam industri di mana satu mini konsert telah diaturkan khas buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculan mereka.

“Pada 7 Mac ini, Meditasi bersama Joey B.P.R bakal mengadakan sebuah mini konsert Let’s Rockout Tonight bertempat di Liquid Room.

“Tapi untuk tahun ini, Alhamdulillah, kami diberi satu platform yang baik untuk membuat persembahan dan bertemu peminat dengan lebih dekat,” ujarnya kepada Zass.

Mengulas lebih lanjut mengenai persembahan lebih kurang dua jam itu, Burn memberitahu, ia turut menampilkan tiga kumpulan lain seperti Zanna, Wynken Delirium dan The Outbreak untuk memeriahkan lagi konsert pada malam itu.

“Pada malam itu, sudah pasti kami akan menyampaikan lagu-lagu hits yang mungkin boleh membawa peminat mengimbau semula era 90-an.

“Selain daripada menyampaikan persembahan yang menghiburkan, konsert ini juga memberi ruang kepada kami untuk berinteraksi dengan peminat dengan lebih dekat.

“Kami berharap, peminat tidak akan melepaskan peluang ini untuk hadir menyokong karier kami,” ujarnya tiket konsert Let’s Rockout Tonight akan dijual dengan harga RM50 bermula 11 Februari ini.

Periuk nasi terjejas

Akui perjalanan karier terjejas dengan keadaan negara yang berdepan dengan pelbagai ujian, kumpulan yang terkenal dengan lagu Biar Pedih Kasih Memanjang ini masih belum mengenal erti berputus asa meneruskan perjuangan mereka.

“Tahun lalu, memang kami ada merancang untuk lebih aktif dengan persembahan, namun atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa akur dan menunda semuanya.
“Memang periuk nasi kami agak terganggu dan peluang untuk mengadakan konsert ini kami akan gunakannya sebaik mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Burn memberitahu Meditasi bakal tampil dengan album terbaharu tidak lama lagi.

“Walaupun jarang tampil, tetapi kami sebenarnya masih aktif membuat kerja-kerja belakang tabir mengumpul material untuk terbaharu kami,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan