Ahad, 16 November 2014

Tangan penyamun putus kena libas

SEREMBAN - Seorang penjenayah putus pergelangan tangan kanan akibat dilibas dengan parang oleh mangsa ketika cuba menyamun di sebuah rumah di Taman Sikamat Utama di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, suspek, dipercayai warga Myanmar, bersama tiga lagi rakannya memasuki rumah terbabit yang dihuni pasangan suami isteri warga Myanmar juga.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Hamzah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua suspek memasuki rumah berkenaan menerusi tingkap bahagian dapur ketika penghuni sedang tidur.

“Pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan kehadiran kumpulan penjenayah terbabit yang menendang pintu biliknya sebelum masuk.

“Kesemua suspek yang menutup muka dengan baju dan kain terus meluru ke arah mangsa yang berada di atas katil lalu menumbuk mangsa lelaki bertubi-tubi.

“Mangsa yang melawan sempat mengambil parang miliknya yang diletakkan di bawah almari pakaian, untuk mempertahankan diri,” katanya.

Menurutnya, libasan parang mangsa menyebabkan pergelangan tangan seorang suspek putus sebelum kesemua mereka melarikan diri dengan keluar mengikut pintu hadapan rumah.

Muhamad Zaki berkata, suspek berusia 26 tahun yang putus pergelangan tangan ditemui terbaring di kawasan semak berhampiran sebuah rumah iaitu lebih kurang 50 meter dari rumah mangsa.

“Difahamkan, tiga lagi suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah van warna putih. Kesemua mereka dipercayai merupakan warga Myanmar dan salah seorang daripada mereka dipercayai dikenali oleh mangsa,"katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan