Ahad, 30 November 2014

Eh Eh Bustfest Putrajaya 2014: Mari naik bas bersama artis -

Misi penganjuran kempen Eh Eh Bustfest Putrajaya 2014 adalah untuk meningkat-kan kesedaran orang ramai mengenai penggunaan dan kepentingan pengangkutan awam iaitu bas Putrajaya.
Kempen ini dianjurkan Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn Bhd (PAPSB) buat julung kalinya dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Cawangan Putrajaya dan Eh Eh Bazaar Sdn Bhd.
Ia juga untuk mempromosikan Stesen Putrajaya Sentral sebagai hab pengangkutan awam untuk kawasan Putrajaya, Cyberjaya, Dengkil dan Sepang.
Kempen Eh Eh Bustfest akan berlangsung pada 5 hingga 7 Disember nanti dari jam 10 pagi hingga 10 malam. di sekitar Stesen Putrajaya Sentral, Presint 7, Putrajaya. Ia akan dirasmikan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat.
Apa yang menarik, kempen ini membabitkan penampilan barisan selebriti popular tanah air seperti penyampai radio yang popular dengan Slot Suria Cinta FM iaitu DJ Lin, Puteri Sarah Liyana, Hafiz Hamidon, Rita Rudaini, Andy Flop Poppy, Sharifah Zarina, Noryn Aziz, Intan Ladyana dan Sharifah Shahora.
Bagi pelakon popular Rita Rudaini, dia berasa terpanggil untuk menjayakan kempen Eh Eh Bustfest Putrajaya 2014 kerana ingin sama-sama merealisasikan hasrat kerajaan dalam meningkatkan kesedaran menggunakan pengangkutan awam.
"Jika tidak terbabit dengan penggambaran drama, saya pasti tetap tidak ingin melepaskan peluang keemasan untuk sama-sama menjayakan kempen berkenaan.
"Inilah masanya saya bertemu peminat sekali gus sama-sama membantu kerajaan menjayakan kempen berkenaan," katanya.
Sempena kempen itu, Rita berkata, dia turut menyertai karnival yang berlangsung kerana ingin memberi peluang kepada golongan yang ingin berjinak-jinak dalam bisnes.
"Contohnya, mereka yang berminat untuk menjadi agen produk saya yang rata-ratanya golongan suri rumah sepenuh masa dan bekerja sendiri.
"Saya menggalakkan golongan ini belajar berniaga dan menjana pendapatan sendiri sekali gus peluang keemasan untuk mereka meningkatkan taraf kehidupan," katanya.
Dj Lin juga turut tidak ingin melepaskan peluang menjayakan kempen dan karnival berkenaan walaupun sibuk dengan karier seninya.
"Saya tertarik untuk menjayakan kempen ini kerana ia meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menggunakan bas awam yang mesra alam di laluan Putrajaya sekali gus untuk memelihara alam sekitar," katanya.
Selain kempen, kata Dj Lin, dia turut menyertai bazar yang dianjurkan khusus untuk memeriahkan acara berkenaan.
"Selain sebagai penyampai radio, saya turut menceburi bisnes untuk jaminan masa depan. Justeru, sempena karnival, saya turut membuka tapak niaga Dj Lin Corner sepanjang tiga hari acara berlangsung.
"Lebih istimewa, peminat boleh mendapatkan Jeruk Plum Asam Boi Cinta Dj Lin yang juga resipi sendiri dan kuih tiram asli di gerai nanti. Selain itu, saya turut mempromosikan single dan album Suria Cinta dan Pesona Cinta di sana nanti," katanya.
Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan kepada pengunjung sepanjang kempen iaitu 'Treasure Hunt' yang menggunakan bas Putrajaya, pameran seni 'doodle' oleh pelukis indie yang popular di laman Instagram, Ann Jaafar, pertandingan #SelfieBusfest, tayangan filem dalam bas serta pameran oleh agensi kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PAPSB, Ab Rahim Md Junoh berkata, kempen itu dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai menaiki pengangkutan awam sekali gus mempromosikan Stesen Putrajaya Sentral yang menjadi penghubung di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Dengkil dan Sepang.
"Pihak kami berharap orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan kempen dan karnival yang akan berlangsung nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan