Ahad, 16 November 2014

Aku Ingin Sekuat Ayah

Dari jauhku kelihatan pokok belunu di tepi jalan raya sehala itu seakan-akan melambai-lambaiku untuk memberhentikan kereta Toyota Hilux Vigo milikku. Aku berhenti dan keluar.T Kakiku memijak becak di tepi jalan berbatu itu. Vigo Intercooler dengan kapasiti enjin 3.0 liter milikku itu benar-benar berada di hadapan pokok belunu itu. Aku melihat-lihat sekitar, seakan-akan semua pokok-pokok itu mengenaliku dan kurasakan begitu mesra menyambutku dengan senyum dan lambaian rindu.
Aku lihat pokok belunu itu semakin membesar. Begitu juga pokok-pokok yang ada di sekitarnya. Pokok kelapa, pinang, rambutan, langsat, tarap dan durian dalit. Semuanya sudah menjadi seperti pokok kayu balak. Kiranya kalau ditebang dibuat papan beruti sudah boleh membina sebuah rumah besar. Aku mencekak pinggang sambil memerhati ke arah pokok belunu sebesar tiga pemeluk itu. Aku menggeleng-geleng. Kenangan mula mengusik hatiku. Aku kemudian duduk pada banir pokok itu. Udaranya masih seperti dulu. Nyaman dan sungguh damai. Banir itu juga semakin membesar. Bentuknya benar-benar seperti kerusi panjang yang ayah bina di anjung rumah kami dulu. Aku rasa dudukku terlalu selesa di atas banir yang dipenuhi kenangan silam itu.
Pokok itu adalah stesen pertama kami untuk berhenti berjalan kaki dari rumah. Kampungku dari situ jaraknya lebih kurang tiga batu. Tetapi jalan itu dahulu bukannya jalan batu seperti sekarang. Penuh semak dan berlumpur-lumpur. Kebanyakkan dalamnya setinggi lutut orang dewasa. Jambatan-jambatannya pula sudah roboh kerana tidak diselenggara lagi. Jalan itu sebenarmya milik sebuah syarikat balak yang pernah beroperasi di kawasan perkampungan kami.
Jalan raya itulah yang kami gunakan untuk berjalan kaki pergi atau pulang dari asrama sekolah SK Simpangan. Hanya sejalur jalan kecil yang dipenuhi tapak-tapak kaki manusia yang masih kelihatan sedikit luas. Itu pun sudah mula ditumbuhi semalu dan rumput gajah.
“Mahu minum Nanang?” Soal ayah.
“Belum hauslah ayah,” jawabku.
Waktu itu aku berusia lapan tahun. Setiap minggu aku akan pulang ke rumah. Ayah akan datang ke asrama menjemputku pulang. Aku dan ayah akan meredah bukit dan lembah hampir lima jam untuk pulang ke kampung. Aku sudah lali dengan keadaan itu dan sedikit pun tidak berasa lelah. Jauh sekali berasa penat. Sebabnya sudah setahun pada setiap seminggu aku akan berjalan kaki begitu. Ayah akan menyandang begku dan aku bebas berlari-lari meninggalkan ayah di belakang. Kadang-kadang aku terpaksa menunggu ayah sehingga sepuluh minit.
“Kamu nak makan Nanang?” Soal ayah lagi.
“Belum lagi ayah. Pagi tadikan baru sarapan,” jawabku sambil aku mencari-cari batu kecil untuk dijadikan peluru lastik getahku.
Ayah mengasah badungnya. Sudah tumpul menebas rumput gajah yang semakin menutupi jalan. Ayah kata, biar sepohon saja rumput gajah atau pokok-pokok kayu kecil yang dapat ditebasnya setiap kali melalui jalan kecil itu sudah memadai. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, katanya. Kerana untuk menghantarku ke sekolah hanya jalan itu sajalah yang boleh digunakan. Ramai juga yang menggunakan jalan itu untuk berburu, mengetah burung teripas, menjerat binatang hutan seperti pelanduk, biawak, kijang dan sebagainya.
“Nanang, duduk disini sekejap,” panggil ayah.
Aku terpaksa menamatkan aktiviti kegemaranku untuk melastik burung di dahan-dahan pokok senduduk yang banyak di sepanjang pinggir jalan. Entah berapa kali aku mengintai-ngintai tadi tapi burungnya liar dan pintar belaka. Burung-burung ini seperti orang yang masuk universiti, fikirku. Sebab kata cikgu orang yang masuk ke universiti semuanya pintar.
“Ada apa ayah?” soalku sambil melabuhkan punggung kecilku di atas banir pokok belunu itu.
Ayah melihatku. Wajahnya tenang setenang cuaca pagi itu. Matanya dipenuhi sinar kasih dan harapan. Aku sudah dapat mengagak apa yang ingin dikatakan ayah. Mesti mengingatkanku supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang yang berguna suatu hari nanti.
“Kamu tahu Nanang, hidup ini bukan semudah melastik burung. Ada batu. Ada lastik getah sudah boleh pergi mengintai burung-burung mematuk jambu atau bermain-main di dahan pokok senduduk itu.” Ayah menghela nafas panjang kemudian mendengus perlahan. Aku memandang jauh ke dasar hati ayah. Aku tidak mengerti apa yang dikatakan ayah.
“Kau tahu apa tujuan kau pergi ke sekolah?” sambungnya.
“Belajar ayah,” jawabku ringkas.
“Belajar untuk apa?” soal ayah lagi sambil memandangku.
“Belajar untuk cari ilmu ayah. Supaya saya tahu membaca, tahu tulis nama sendiri, tahu mengira, tidak nakal-nakal dan berguna suatu hari nanti.” Jawapan itu adalah jawapan yang sudah diajarkan ayah semenjak aku hari pertama memasuki darjah satu, setahun lepas. Aku jelas mengingatinya. Manakan tidak kalau berhenti saja di pokok belunu itu, ayah akan menanyakan soalan yang sama kepadaku. Tapi aku tidak pernah bosan mendengar soalan serupa. Aku tahu ayah ingin mengingatkanku supaya aku lebih bersungguh-sungguh belajar di sekolah.
“Baguslah kamu tahu. Ingat, jangan cuma kau sebut di mulut. Ingat di dalam hatimu.”
“Ayah kenapa Din, Along, Acai dan Dom tidak pergi sekolah?” soalan yang sudah lamaku simpan di dalam kepalaku. “Kalau mereka ke sekolahkan bagus, saya ada kawan dari kampung.” Sambungku lagi.
“Yang itu ayah tidak pasti Nanang. Dah, mari kita berjalan lagi.” Aku cuma mengangguk bodoh. Soalanku sama saja seperti tidak dijawab ayah.
Aku tahu ayah tahu jawapan pertanyaanku. Aku ingin juga punya kawan sekampung denganku di sekolah seperti Din, Along, Acai dan Dom. Kami boleh menimba ilmu bersama. Mandi sungai bersama. Makan di kantin bersama. Main bola bersama. Kami kalau di kampung memang sahabat sejati. Waktu petang, keluar ke mana-mana saja mesti bersama. Melastik burung, menjerat burung Wak-Wak, menjerat biawak, mengetah teripas, burung haji dan segala jenis burung yang kami suka, menjerat pelanduk, memancing ikan keli dan haruan. Kami seperti adik beradik. Tauke Achung kata, kami ini seperti lima pahlawan handal Melayu iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Aku mengenali nama-nama yang disebut oleh Tauke Achung itu, Cikguku di sekolah pernah menyebut nama-nama itu dan kami disuruh berlakon. Bercakap-cakap. Disuruh berbincang mencari teknik bagaimana menewaskan musuh. Sangat seronok. Aku menceritakan apa yang aku tahu itu kepada Din, Along, Acai dan Dom. Mereka sangat suka. Mereka ingin sekali pergi ke sekolah bersamaku. Tetapi Din kata, ayahnya selalu memarahinya kerana tahu keinginannya untuk bersekolah. Begitu juga dengan Along, Acai dan Dom.
Aku tahu ayah tahu jawapan soalanku tadi. Mungkin ayah tidak mahu melibatkanku dengan persoalan keluarga rakan-rakanku itu. Ayah pernah berkata kepadaku bahawa di kampung itu masih kurang kesedaran ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak. Mereka masih tidak tahu peri pentingnya pendidikan. Kampungku seperti juga kampung-kampung hulu yang lain, masih tidak ada ibu bapa yang pernah bersekolah. Jauh sekali tahu membaca atau menulis. Aku selalu juga mendengar ayah memberi nasihat kepada orang kampung supaya anak-anak harus dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu tetapi tidak diendahkan. Ramai berkata, kalau sekolah pun akhirnya akan kerja ladang juga, jadi orang kampung juga, kalau perempuan ke dapur juga. Ada juga yang berkata anak-anak di asrama seperti dibuang-buang, tidak cukup makan, di dalam kelas didera oleh guru dan macam-macam lagi. Aku lihat ayah cuma mengukir senyum sayu yang mungkin tidak boleh dimengerti oleh sesiapa kecuali ibu.
Ketegasan
“Walau kita susah macam mana sekali pun, anak-anak mesti diberikan pendidikan.” Begitulah ayah selalu mengingatkan ibu.
Ibu sependapat dengan ayah. Ibu kagum dengan prinsip ayah. Baginya ayah seharusnya dicontohi orang kampung. Walau hidup dalam sangkar kemiskinan dan tidak berpendidikan, ayah tahu pendidikan itu sangat penting. Ibu tidak menghalang ayah untuk menghantarku tinggal di asrama. Ibu suka melihatku sudah boleh membaca, sudah tahu menulis dan tahu mengira. Kalau Tauke Achung datang membeli jualan ibu, akulah yang menjualnya. Tauke Achung begitu kerap memujiku. Aku anak yang pintar, katanya. Pujian itu membuat ayah dan ibu tersenyum bangga padaku.
“Nang, kamu tahu ayah kamu begitu bersungguh-sungguh ingin melihat kamu berjaya dan menjadi orang yang berguna suatu hari nanti. Dia mengambil risiko untuk bekerja sebagai tukang tumbang kayu balak untuk mencari sedikit wang sebagai perbelanjaan kamu di sekolah. Tiga empat hari tinggal di dalam hutan. Hari jumaat dan Ahad terpaksa pula mengambil dan menghantar kamu ke asrama. Berladang lagi. Bercucuk tanam lagi, Mencari lauk lagi. Ibu kesian melihat ayahmu. Ibu cuma boleh bekerja di ladang saja. Tanam ubi keledek, ubi kayu, mencambut rumput, tanam pisang dan di dapur saja. Tiada sedikit pun terbanding dengan penat lelah ayahmu.”
Aku terkadang menitiskan airmata mengenangkan cerita ibu. Tapi apa yang dapatku lakukan. Aku cuma anak kecil. Aku belum berdaya melakukan kerja-kerja berat untuk membantu ayah. Lagi pun ayah marah kalau aku mengabaikan pelajaran. Aku diberi kebebasan untuk keluar dari rumah waktu petang saja. Apa lagi pergi membantunya di ladang. Kerja di ladang ini bukan kerja anak-anak seperti aku. Duduk di rumah saja, baca buku, siapkan kerja sekolah dan jaga adik, katanya. Ketegasan ayah itu membuatku selalu bercakap dengan diriku, aku mesti berjaya suatu hari nanti. Itu impianku dan impian itu tercapai apabila sembilan tahun lepas aku berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di UPM. Dan aku ditempatkan di SMK Belawai Sarikei Sarawak.
Kejayaanku itu mengalir pula kepada adik-adikku. Lima tahun lepas adik lelakiku selepas saja bergraduat dalam bidang sains sosial dengan Kepujian Geografi di UMS, dia terus diserap bekerja menjadi seorang pengurus ladang disebuah syarikat perladangan terkemuka di Lahad Datu. Dua orang adik perempuanku juga berjaya melanjutkan pelajaran. Seorang adik perempuanku sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Mansoura Mesir dan adik bongsuku belajar di matrikulasi Labuan.
Ayah berjaya. Ayah sangat hebat. Aku teringin sekuat ayah yang tidak pernah mengenal lelah dan berasa sakit memijak duri-duri kemiskinan demi masa depan anak-anaknya. Aku bangga menjadi anak ayah.
“Nanang, kamu buat apa di sini?” suara ayah mengejutkanku. Lantas kenangan itu berpergian meninggalkanku di atas banir pokok belunu itu. Aku terpegun melihat ayah disitu.
“Ayah dari mana?” soalku sedikit kalut. Sambilku berdiri aku menepuk-nepuk punggungku. Ada lumut yang melekat diseluarku. Dadaku berdebar-debar.
“Ayah tak menoreh getah hari ini?” sambungku lagi. Tanganku pantas menyeka setitis airmata dari mataku yang tanpaku sedari mengalir tanpa salam.
“Ayah pergi memburu. Kamu bukan hendak ke sekolah tadi?” soal ayah lagi.
Aku sengaja tidak menatap wajah ayah. Kelopak mataku berkolam. Hampir melimpah dan mengalir ke pipiku. Aku terlalu kagum dengan ayah.
“Ya tapi saya singgah sebentar di sini. Tempat ini sudah banyak berubah.” Aku cuba menenangkan diriku walau hatiku seperti ingin saja mendakap ayah.
Semenjak selesai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpangan Paitan, aku tidak lagi pernah menjejakkan kaki ke jalan kecil itu. Aku terpaksa berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pinggan-Pinggan Pitas untuk menyambung pelajaranku di tingkatan enam. Waktu itu hanya jalan kayu balak yang boleh menghubungkan daerahku dengan daerah Pitas. Aku hanya dapat balik ke kampung semasa cuti pertengahan semester saja. Aku banyak menghabiskan masa di asrama menelaah pelajaran dan terlibat dengan aktiviti kelab dan persatuan.
“Kamu ingin tertidur lagi di bawah pokok belunu ini?” soal ayah. Aku tergamam. “Kamu tak ingat semasa kamu tingkatan tiga dulu, kamu balik seorang dari asrama dan kamu tertidur di bawah pokok ini. Nasiblah ayah datang kerana waktu itu mak kamu terlalu risaukanmu.” Ayah cuba mengingatkan aku.
Aku tersenyum. Aku mulai tenang semula. Ingatanku datang kembali. Waktu itu selesai sahaja sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah pukul 1.00 petang, aku terus bergegas ke asrama mengemas barang-barangku untuk pulang ke kampung. Aku terpaksa pulang waktu itu untuk melengkapkan borang Biasiswa Persekutuan Kecil. Perlu tandatangan ayah dan cop ketua kampung. Aku terlalu letih, aku berhenti kemudian terlelap di bawah pokok belunu itu.
“Dah besar ini jangan ulang perkara yang sama,” gurau ayah tersenyum padaku. Aku hanya tertawa kecil.


p/s:ayah sumber inspirasiku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan