Isnin, 5 Januari 2015

Nina Juren kembali aktif

Nina Juren
BILA menyebut nama Nina Juren, barangkali ada di antara peminat industri hiburan menyangkakan figura itu adalah pelakon baharu bertapak di dalam industri seni.

Namun sebenarnya, pemilik nama sebenar Haznina Juren Haniff cukup dikenali sebagai pelakon hebat sekitar 1990-an, menerusi lakonan berkesannya dalam filem Lenjan, arahan Ismail Yaacob.

Filem yang turut dibintangi aktor Eman Manan dan Rosyam Nor ini berjaya meletakkan Nina sebaris dengan pelakon handalan lain.

Selain itu, juga pernah membintangi beberapa filem lain seperi Puteri Impian, KLU, Panas, Kembara, Bintang 3, Femina dan banyak lagi.

Namun selepas mendirikan rumah tangga dengan Datuk Ibrahim Md Nor dan dikurniakan cahaya mata, Nina mengambil keputusan untuk memperlahankan karier seninya demi membesarkan anak-anak.

Tidak menyesal dengan keputusannya itu, Nina mengakui, dia kini amat merindui bidang seni.

“Apabila anak sudah tidur, saya sering meluangkan masa untuk menonton kembali drama-drama di semua saluran TV, sampaikan suami pun berkata, nampak sangat saya rindu untuk kembali berlakon.

“Tapi ketika itu memandangkan anak masih kecil, jadi saya buat keputusan untuk memberi tumpuan kepada anak-anak kerana mereka juga lebih perlukan saya. Cuma sekarang anak-anak sudah besar, barulah saya berani untuk kembali aktif,” ujarnya yang ditemui media selesai tayangan filem Romeo Kota, Fail Kes: Kriptik.

Menganggap filem terbabit sebagai tanda rasmi dia kembali aktif di dalam bidang seni, Nina berkata, dia bersyukur kerana mendapat sokongan penuh dari suami dan anak-anak.

“Suami saya memang tidak pernah menghalang saya berlakon, cuma saya yang membuatkan keputusan untuk memberi tumpuan pada keluarga. Sebelum saya buat keputusan untuk kembali aktif, saya ada buka akaun Instagram dan ada antara komen yang saya terima,
bertanyakan bila saya akan kembali berlakon, ada yang kata mereka ingat lagi suara saya.

“Dari situ semangat saya jadi berkobar-kobar untuk kembali berlakon. Selain itu rasa rindu yang membuak-buak untuk berjumpa dan berlakon bersama kawan-kawan membuatkan saya teruja untuk kembali aktif,” katanya yang kali terakhir berlakon dalam Impak Maksima The
Series, tujuh tahun lalu.

Mengakui akan lebih selektif dalam memilih watak, Nina bagaimanapun tidak kisah andai di beri peranan sebagai seorang ibu, asalkan ia tidak terlalu berlebihan.

“Dari segi watak, saya akan pilih jugalah, apatah lagi saya kini sudah bergelar isteri dan ibu. Tapi saya tidak kisah membawa watak emak, asalkan anak saya tidaklah terlalu besar dan kalau nak jadi heroin pun, tak perlulah hero itu tampak jauh lebih muda dari saya.

“Orang kata, biar berpada-padalah, nanti orang kata saya tak sedar diri pula,” katanya ketawa.

Biarpun sedar dengan persaingan artis-artis baru di dalam industri kini, beliau memuji sebilangan mereka yang memberikan komitmen yang sangat tinggi dalam menghadapi persaingan hebat masa kini.

“Bagaimana mereka di belakang tabir saya tak tahu, tetapi apabila berada di depan kamera saya dapat rasa komitmen mereka sahaja seperti artis-artis terdahulu. Bagus juga artis-artis sekarang mereka pandai menggunakan karakter yang diberikan,” katanya.

Dalam filem Romeo Kota, Kes Fail: Kriptik, Nina bakal membawakan watak anak dara tua yang juga seorang pensyarah di sebuah kolej yang jatuh hati dengan anggota polis yang menyamar sebagai pensyarah baharu iaitu Aaron Aziz.

Filem Romeo Kota, Kes Fail: Kriptik akan berada di pawagam seluruh Malaysia bermula 8 Januari depan.

Selain itu, Nina juga baru selesai menjalani penggambaran drama tujuh episod Jangan Lafaz Janji untuk siaran RTM1.


Rahsia kecantikan

Dalam pada itu, ketika sesi temu bual dijalankan, rata-rata media yang hadir mengagumi kecantikan wanita berusia 43 tahun ini yang kelihatan tidak dimamah usia.

Dengan kulit yang masih bersih, dan tubuh langsing biarpun sudah mempunyai enam orang anak, Nina menegaskan tidak mengamalkan apa-apa petua atau rahsia dalam menjaga kecantikan.

“Kalau bersenam, saya mengakulah, lepas umur 40-an memang perlu untuk sentiasa bersenam. Sebab kadang-kadang saya perasan bentuk badan akan berubah sendiri. Namun dari segi pemakanan atau amalan, tidak ada apa-apa pula yang saya buat.

“Cuma saya dari dulu memang tak makan pedas dan bila keluar, saya tak suka bersolek,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan